COVID-19 telah mengubah norma kita, hinggakan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) ditangguhkan setelah dua kerusi Parlimen kosong iaitu Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik termasuk satu kerusi DUN Bugaya di Sabah.
Sebelum tahun 2020 melabuh tirainya, mengimbau kembali perjalanan politik setelah negara kehilangan tiga pemimpin yang berwibawa.
Pada tanggal 2 Oktober, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (Warisan), meninggal dunia pada 11.50 pagi, di usia 60 tahun.
Pemergian ahli Parlimen Batu Sapi itu kerana jangkitan paru-paru dan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Gleneagles.
Mendiang yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee dan empat anak.
Sejarah politik, beliau dari parti Parti Liberal Demokratik (LDP), sebuah parti komponen Barisan Nasional dan merupakan bekas Presiden LDP.
Setelah lompat parti kepada Parti Warisan, Vui Keong dilantik Pengerusi Tetap Warisan.
Kemudian cukup sebulan pemergian Vui Keong, negara dikejutkan dengan pemergian dua veteran politik iaitu Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman (BN) meninggal dunia akibat sakit jantung di Raub Pahang pada 16 November dan Manis Muka Mohd Darah (Warisan), 65, meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, pada 17 November.
Hasbullah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik menjadi ahli Parlimen sejak tahun 2013 sehingga kini.
Sebelum itu, pada tahun 2008 Allahyarham pernah menjadi ADUN Temenggor dan beliau juga Timbalan Pengerusi UMNO Perak.
Manakala Allahyarham Manis Muka, yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Semporna.
Ibu kepada lima anak lelaki dan lima anak perempuan ini merupakan penyandang kerusi DUN Bugaya.
Melihat keadaan pandemik Covid-19 semakin mengganas, mendorong Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya sekali gus membatalkan PRK kerusi itu.
Namun timbul persoalan, terbelakah nasib rakyat di tiga kerusi terbabit setelah rakyat hilang 'tempat mengadu', di manakah mereka mahu mengadu nasib jika kekurangan bekalan makanan, kekurangan bantuan ketika pandemik Covid-19 ini.
Mesikpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan DUN Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak serta Parlimen Batu Sapi di Sabah, tetapi PRK perlu diadakan mungkin dalam kempen era baharu berlandaskan digital.
Bagaimanapun, jika kekosongan itu terus dibiarkan, nasib rakyat di tiga kawasan tersebut terus menjadi tanda tanya dan berharap kekalutan parti politik mengejar kekosongan kerusi terbabit tidak berulang pada tahun 2021.
ARTIKEL BERKAITAN
Profile Liew Vui Keong
Profile Hasbullah Osman
Profile Manis Muka Mohd Darah